Sunday 1 December 2013

Halaqah Mu'amalat: Perlukah berwasiat?

"Diwajibkan apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika dia ada meninggalkan harta, (hendaklah dia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan bagi orang yang bertaqwa."
Al-Baqarah, 180

"Maka sesiapa yang mengubahnya (wasiat) sesudah dia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Al-Baqarah, 181

"Tetapi sesiapa yang khuatir terhadap orang berwasiat itu tidak berlaku adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu dia mendamaikan antara mereka (yang berwasiat dan yang diwasiat, dengan membetulkan wasiat itu menurut syara'), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang."
Al-Baqarah, 182

Refleksi ayat:

Wasiat dan pengurusan harta pusaka itu penting dan perlu dirancang sebelum berlakunya kematian.
Sesiapa yang mengubah wasiat berdosa. Namun sekiranya wasiat itu mungkin menidakkan hak ahli waris tertentu, maka dibolehkan untuk mengubahnya. Dalam bahasa undang-undangnya 'contest'. Amalan pengurusan harta pusaka di Malaysia menjadikan faraidh asas pembahagian. Namun wasiat adalah pemudah cara semasa pentadbiran  Kebanyakan harta pusaka beku kerana tersangkut semasa urusan pentadbiran.

^^Yang baik itu datang dari Allah swt, yang salah dan lemah akibat kekurangan saya^^

Wednesday 27 November 2013

Halaqah Mu'amalat: Ciri-ciri 'Multi-Level Marketing' yang tidak patuh shariah

Berikut adalah ciri yang pertama secara ringkas:

-Harga yang tinggi dari biasa-

Dalam Multi-Level Marketing (MLM) sebenarnya harga ditinggikan bagi menjamin syarikat mendapat keuntungan awal daripada penyertaan ahli baru. Syarikat mengambil untung daripada penjualan barang dan memasukkan kos komisyen dan overriding dengan menaikkan harga barang lebih daripada biasa. Ini membawa kepada beberapa kesan, antaranya kezaliman kepada pembeli dan ada elemen perjudian atas lebihan daripada harga patut-patut barang tadi dijadikan sebagai yuran yang dikira sebagai wang pertaruhan untuk mencuba nasib dalam perniagaan piramid ini.

Ciri Kedua secara ringkas:

-Sasaran jualan sebagai syarat overriding-

Kebiasaanya MLM meletakkan sasaran jualan tertentu bagi mendapatkan overriding orang bawahannya. Sekiranya gagal, kesannya samaada hilang keahlian atau tiada sebarang overriding walaupun orang bawahannya menjual dengan banyak. Cara ini bermasalah dari segi shariah kerana terdapat unsur kezaliman kepada ahlinya kerana mewujudkan jualan bersyarat dan syarat pula tidak menyebelahi ahli.

Sumber: Wang Anda & Islam: Halal dan Haram Dalam Kewangan dan Perbankan Islam, karangan Dr. Zaharuddin Abd. Rahman

Halaqah Mu'amalat: Beza Perbankan Islam dan Konvensional-01

-Dasar Fungsi dan Operasi-

Perbankan Konvensional: Fungsi dan operasinya didasari sepenuhnya oleh prinsip dan disiplin yang dibuat oleh akal manusia 'man-made principles'.

Perbankan Islam: Fungsi dan operasinya dipastikan sedaya mungkin agar menurut kehendak Al-Quran dan As-Sunnah.

Sumber: Wang Anda & Islam: Halal dan Haram Dalam Kewangan dan Perbankan Islam, karangan Dr. Zaharuddin Abd. Rahman

Sunday 24 November 2013

Pengurusan Agensi: Motivasi akhirat

Tuan Ahmad Saifuddin Yusof menulis di FB mengenai habuan dunia dan habuan akhirat sebagai motivasi kepada umat Islam semasa peperangan. Saya ambil intipati penting seperti berikut:

|||Sebelum atau sewaktu berlangsung peperangan, Nabi Muhammad tidak menjanjikan kepada para sahabat tentang habuan ghanimah yang bakal diperolehi berdasarkan strategi peperangan yang akan dijalankan. Nabi Muhammad tidak berkata;

"Berdasarkan strategi peperangan yang kita rancang, insya Allah kita akan mendapat kemenangan dan harta rampasan yang banyak."
"Apabila kita menang peperangan ini, kita akan dapat banyak harta. Kamu semua boleh gunakan ke arah kebaikan."
"Insya Allah, harta-harta di Khaibar nanti kamu akan dapat untuk keselesaan hidup kamu."

Apakah yang Nabi Muhammad janjikan kepada para sahabat? Nabi Muhammad menjanjikan habuan syurga kepada para sahabat. Syurga adalah habuan tertinggi dan terbaik bagi seorang manusia yang akan diperolehi pada Hari Akhirat.

Sewaktu Perang Badar mula bertempur, Nabi Muhammad berkata, "Maralah untuk syurga seluas langit dan bumi!" Ada sahabat di situ bertanya, "Wahai Rasulullah, seluas langit dan bumi?" Rasulullah menjawab, "Ya." Lalu lelaki itu melemparkan kurma yang ada di tangannya dan masuk bertempur dan beliau mati syahid.

Apakah risiko kita menjanjikan habuan dan keuntungan dunia kepada orang lain? (1) Kita memberi harapan yang hampir pasti, namun semuanya adalah ketentuan Allah. (2) Individu itu mungkin akan melakukan kerja hanya untuk habuan dunia semata-mata. (3) Dengan mengandaikan cara yang kita lakukan itu akan membuahkan hasil secara pasti tanpa melalui proses eksperimen dan proses penambahbaikan kaedah.|||


Aplikasi kepada para wakil takaful:

Kali pertama saya mengendalikan latihan ejen baru, saya menjalankan modul 'Intention Positioning'. Saya memasukkan elemen habuan akhirat kepada para wakil yang bersama-sama memerangi insurans konvensional dan riba. Subhanallah, kesannya sangat berbeza. Cara ketua berkomunikasi sangat penting dalam penyampaian modul ini demi menyampaikan matlamat habuan akhirat dalam kerjaya seorang wakil takaful.

Wednesday 20 November 2013

Pengurusan Agensi: Berkomunikasi dengan positif

Perkongsian di FB Ustazah Siti Khadijah (Pengamal Teknik Nabi Muhammad) saya cuba aplikasikan dalam pengurusan agensi. Berikut intipati pentingnya:

Dalam urusan harian, kita juga berhadapan dengan individu yang sukar memahami arahan, tidak fokus pada penerangan dan lambat belajar (slow learner). Cara berkomunikasi khususnya dalam memberi arahan atau mengajar mereka pun ada cara yang khusus. Kanak-kanak juga boleh termasuk dalam kategori ini memandangkan mereka belum mumayyiz lagi.

Abdullah bin Abi Awfa telah berkata, "Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Muhammad dan berkata, "Sesungguh saya tidak mampu untuk mengambil apa-apapun daripada Al-Quran (tidak boleh membaca), maka ajarlah saya bacaan yang memadai sahaja. Lalu Nabi Muhammad berkata, "Katakanlah, Subhanallah, Walhamdulillah, Wala Ilaha illa Allah, Wallahu Akbar, Wala Hawla Wala Quwwata illa Billahil 'Aliyil 'Azim." Lelaki itu berkata, "Ucapan itu untuk Allah, apa pula ucapan untuk saya?" Baginda menambah, "Katakanlah Allahummar Hamni Warzuqni Wa'afini Wahdini." -Rekod Sunan Abu Dawud


Dalam peristiwa di atas, apabila diminta supaya diajarkan dia bacaan solat. Nabi Muhammad tidak meragui kebolehan lelaki itu dengan berkata;

"Bolehkah kamu belajar, bacaan solat ini banyak."
"Kalau susah sangat, kamu tidak payah baca apa-apalah."

Begitu juga apabila lelaki itu meminta tambahan bacaan yang lain. Nabi Muhammad tidak memberi respon negatif seperti;

"Hafal dahulu yang saya ajar tadi, baru belajar yang kedua."
"Tadi saudara kata tidak mampu, sekarang minta ajar yang lain pula."
"Kamu ingat atau tidak apa yang saya ajar?"

Cara Nabi mengajarkan bacaan adalah;

1. Arahan yang diberi itu sangat mudah, sesiapa pun boleh buat walaupun kanak-kanak.
2. Apabila diminta untuk tugas tambahan, terus diajarkannya tanpa apa-apa pertanyaan.
3.Nabi Muhammad tidak memuji pula kesungguhan lelaki itu, Nabi Muhammad terus memberikan bacaan yang diminta.
4. Nabi Muhammad hanya memberikan satu bacaan dalam satu masa. Tidak memberikan dua bacaan itu sekaligus.


Aplikasi dalam latihan ejen baru: Ejen baru yang tiada pengalaman langsung terutamanya graduan muda atau ejen yang lambat belajar.

Contoh:
Ejen bertanya mengenai produk walaupun belum mengetahui asas takaful dan pemasaran. Ketua terus memberikan contoh produk yang ada tanpa memberitahu ayat negatif contohnya:

"Kamu belum belajar asas mahu belajar tentang produk?"
"Senarai nama prospek pun kamu belum ada, mahu belajar tentang produk?"
"Kamu belajar asas takaful dahulu baru belajar tentang produk"

Ketua tidak memandang rendah kepada ejen baru. Ketua boleh menerangkan mengenai produk secara ringkas dan kembali semula kepada modul ejen baru. Boleh jadi ejen ini terbaca di mana-mana mengenai produk, lalu bertanya kepada ketuanya. Jawapan ketua boleh menjadikan ejen lebih bersemangat atau hilang motivasi.

Saturday 16 November 2013

Latihan Agensi: Pembatalan polisi

Pembatalan polisi takaful merupakan perkara biasa dalam industri ini. Antara sebab-sebab pembatalan adalah:

+ Klien kurang kefahaman mendalam mengenai kepentingan takaful
+ Ejen tidak menerangkan dengan jelas kepentingan takaful
+ Produk yang dicadangkan tidak sesuai dan tidak komprehensif
+ Produk yang dicadangkan tidak sesuai dengan keadaan kewangan klien
+ Perkhidmatan ejen yang kurang berkualiti
+ Keadaan kewangan klien yang tidak stabil

Antara sebab-sebab di atas, sebab yang pertama adalah yang paling biasa. Ini berlaku sekiranya ejen begitu cepat hendak menutup jualan sehingga tidak menjelaskan secara mendalam. Selain itu, boleh jadi juga klien sendiri terlupa matlamat utama mereka menyertai takaful. Contohnya: Klien ingin meningkatkan gaya hidup. Ketika itu mereka memerlukan wang, lalu menamatkan sijil takaful kerana hendak fokus membeli aset lain.

Di samping itu,  pakar kewangan pernah berkata, sekiranya berlaku kegawatan dalam ekonomi keluarga, sijil takaful antara perkara terpenting yang perlu dipertahankan jika dibandingkan dengan kereta mewah atau rumah mewah. Ini kerana manfaat takaful berupa dana kecemasan segera yang tidak dapat diperoleh dengan segera sekiranya kita mengumpul secara biasa. Terdapat beberapa solusi untuk masalah kegawatan ekonomi keluarga bagi meneruskan polisi takaful:

+ Kurangkan jumlah manfaat untuk mengurangkan jumlah sumbangan
+ Buat pengeluaran untuk membayar caruman seterusnya

Kesimpulannya, penting para wakil memberi perkhidmatan yang berkualiti supaya klien mendapat manfaatnya dan poslisi berjalan seperti biasa.

Friday 15 November 2013

Latihan Agensi: Apa itu Financial Need Analysis?

'Financial Need Analysis' atau dalam Bahasa Melayunya Analisa Keperluan Kewangan adalah satu penilaian nilai setiap individu berdasarkan perndapatan mereka. Dalam analisa ini umur sekarang dan umur jangkaan pencen adalah pengukur. Ini untuk mengukur tempoh perkhidmatan. Perkara pokok adalah pendapatannya. Pendapatan inilah yang menentukan nilai harga individu tersebut.

Dari analisa ini beberapa perkara dapat diketahui:

+Jumlah jangkaan pendapatan
+Jumlah simpanan yang wajib ada
+Jumlah dana persaraan yang diperlukan